Tuesday, 29 May 2012

Isu barangan kawalan: Apa yang perlu kita tahu?

Malaysia sememangnya dalam proses dalam membentuk negara maju. Namun, adakah kita sedar bahawa pemikiran kita masih lagi tertutup jika dibandingkan dengan negara-negara maju, Eropah dan Asia yang lain? Tambahan apabila membangkitkan isu dan hak-hak berkaitan dengan kepenggunaan. Terdapat hak, etika dan akta dalam undang-undang Malaysia yang melindungi pengguna yang masih tidak diketahui oleh masyarakat terutamanya remaja dan golongan pasca-graduan yang baru bekerja. Artikel ini akan membincangkan salah satu akta dalam undang-undang Malaysia iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sebelum berkata lebih mendalam mengenai Akta Kawalan Bekalan 1961, tahukah bahawa kita tergolong dalam golongan pengguna? Pengguna di dalam kamus dewan bermaksud orang yang menggunakan sesuatu; pengambil faedah daripada sesuatu benda. Ini bermakna sesiapa yang membeli dan mengguna sesuatu produk barangan atau perkhidmatan adalah pengguna.

Akta Kawalan Bekalan 1961 atau nama ringkasnya Akta 1961 adalah antara 6 akta termaktub dalam undang-undang Malaysia yang melindungi hak-hak pengguna di Malaysia. Akta ini berfungsi untuk mengawal bekalan barang-barang yang telah diisytiharkan sebagai barang kawalan. Contoh barang-barang kawalan adalah barang keperluan seperti gula dan minyak masak. Ini bertujuan untuk memastikan barangan kawalan tersebut boleh diperoleh di pasaran oleh semua lapisan masyarakat.

Selain itu, wujudnya akta ini adalah untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga yang melakukan aktiviti seperti menyorok barang atau enggan menjual barangan kawalan kepada pengguna. Aktiviti haram ini bertujuan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda supaya harga pasaran melambung naik atas sebab permintaan yang banyak.

Akta 1961 berperanan besar dalam menjaga hak-hak pengguna untuk mendapatkan keperluan asas. Ini kerana barang-barang yang diklasifikasikan sebagai barangan kawalan tersebut adalah barangan keperluan harian. Contohnya seperti ayam, gula, minyak masak dan tepung gandum adalah barangan makanan yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Barangan-barangan kawalan tersebut turut mempunyai harga yang wajib dipatuhi oleh semua peniaga dan telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Harga tersebut dikenali sebagai harga syiling. Para penjual tidak boleh sama sekali menjual barangan kawalan tersebut melebihi dari harga syiling yang ditetapkan. Sekiranya arahan ini diingkari, peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti denda atau penjara.

Isu krisis minyak masak pada awal tahun ini merupakan contoh terbaik untuk mengaplikasikan Akta 1961. Kekecohan timbul berikutan laporan daripada media massa tempatan mengenai kekurangan bekalan minyak masak dalam pasaran tempatan seterusnya mendapat perhatian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ada laporan mengatakan wujudnya segelintir pihak yang bertindak menyorokkan minyak masak dan menunggu pengumunan oleh kerajaan untuk kenaikan harga minyak masak demi mengaut keuntungan secara berlebihan.

Perkara ini diberi perhatian serius oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan semua simpanan minyak masak dikeluarkan bagi mengelakkan pembelian panik oleh orang ramai. Pasaraya besar turut melakukan catuan bekalan minyak ke atas pembeli sebagai langkah memastikan bekalan minyak masak dapat diagihkan sama rata kepada pengguna di musim perayaan Tahun Baru Cina pada ketika itu. Beliau turut memberi jaminan bahawa mana-mana peniaga yang bertindak menyorokkan barangan kawalan tersebut tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Selain daripada isu kekurangan bekalan minyak, isu popular yang sering berlaku setiap kali musim perayaan tiba adalah isu kekurangan bekalan gula. Pada awal Ogos 2009, kita dikejutkan dengan penemuan sebuah gudang yang menempatkan sebanyak 23.8 tan metrik gula di Perlis. Isu ini acap kali berlaku dan ramai percaya bahawa perkara ini didalangi pihak yang tamak dan tidak berfikir mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Jadi, apakah tanggungjawab kita sebagai pengguna untuk menangani isu-isu bekalan barangan kawalan tersebut? Adakah kita perlu menyerahkan seratus peratus masalah ini kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan? Sebagai pengguna, kita harus mengetahui tanggungjawab kita sebagai pengguna.

Kesedaran untuk mengkritik jika berlaku sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna harus dipupuk dalam diri. Kita juga harus terlibat sama dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak pengguna tidak terabai. Selain itu, anggap perbuatan kita sebagai pengguna adalah tanggungjawab sosial atas kesedaran terhadap masyarakat dan rakyat Malaysia. Akhirnya kita sebagai pengguna haruslah bersatu-padu untuk membendung masalah ini supaya tindakan menyorokkan bekalan dan menaikkan harga barang kawalan sesuka hati tidak dilakukan pihak-pihak tertentu.

Kesimpulannya, Akta Kawalan Bekalan 1961 ini diperlukan bagi memastikan hak-hak pengguna seperti hak untuk mendapatkan keperluan asas terpelihara. Kejadian seperti isu gula dan minyak masak patut dijadikan iktibar supaya Malaysia kekal menjadi negara yang stabil ekonominya dan rakyatnya terpelihara.
Ps: Post ni pun patut dah lama ada. Oh, Kenapa aku ni lambat post?...

0 expression:

Post a Comment