Monday, 6 May 2013

Sembilan alasan kenapa saya tidak suka Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak

Bismillahirohmanirahim...

Assalamualaikum wbt.

Seperti tertera tajuk diatas mungkin agak keterlaluan kerana tajuk yang saya beri adalah beransur menghasut atau memfitnah. Tetapi artikel ini tidak boleh dijadikan fakta yang serius dan hanya sebagai pencetus persoalan:

"Kenapa anak muda ramai tidak hormati para memimpin UMNO/BN"

Janganlah saya dikenakan tindakan tatatertib atau ditahan undang-undang atas sebab saya menulis artikel ini. Saya hanya menjalankan tugas sebagai salah seorang rakyat yang mengkiritik untuk pembaharuan. Tidak ada niat untuk menjatuhkan reputasi seorang pemimpin negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Namun dalam kekalutan pilihan raya umun ke-13 ini, saya terpanggil untuk memerhati dan menjadi suara kepada rakyat yang kerdil mahukan perubahan. Sebelum saya bercerita lebih lanjut, adalah baik jikalau saya perkenalkan diri saya dahulu.

Saya adalah seorang pelajar jurusan Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Penerbitan. Lahir di Johor dan sekarang menetap ni Perak. Latar belakang keluarga saya adalah dari golongan sederhana dan bukan golongan kaya ataupun miskin. Kini tinggal di Kampung Simpang Tiga, Bagan Datoh. Mengundi di P 075 Bagan Datok, N 53 Rungkup. Pilihan raya umum yang ke-13 ini adalah kali yang pertama saya sertai kerana umur saya pada tahun ini baru mencecah 23 tahun. Pada usia saya 21 tahun pada tahun 2011, ibu saya telah membawa saya ke pejabat pos untuk mendaftar sebagai pemilih. Kenapa ibu saya berbuat begitu, mungkin salah satu faktornya adalah ibu saya adalah ahli UMNO di Kampung Simpang Tiga.

Sebagai peneraju parti politik dalam negara kita, Malaysia ini saya amat mengagumi Dato' Sri kerana telah membawa banyak kemajuan dan keharmonian kepada masyarakat Malaysia. Keluarga saya ini juga turut sama terkena tempias limpah ruah rezeki yang diagihkan kepada rakyat jelata oleh kerajaan. Ibu saya sangat menyokong pucuk kepimpinan UMNO yang dianggotainya dari mula pembabitan beliau dalam kumpulan belia kampung sehingga sekarang.

Namun begitu setelah sekian lama saya tidak mengambil tahu sistem politik dan pemerintahan negara Malaysia atas beberapa faktor seperti tiada keperluan dan tidak cukup umur, maka selepas pilihan raya umum ke-13 saya terpanggil untuk meneliti dan membuat kesimpulan mengapa ramai memprotes sistem demokrasi yang dijalankan dalam negara kita.

Saya tidak berminat sebenarnya untuk menyentuh isu SPR yang tidak telus seperti yang dilaungkan parti pembangkang, tetapi saya lebih berminat untuk menyentuh isu, mengapa ramai tidak mempercayai wakil rakyat dari Barisan Nasional.

Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang saya belajar di UiTM Shah Alam, saya dapati persekitaran saya sudah berubah. Seperti apa yang kita lihat, Pakatan Rakyat memerintah Selangor semenjak pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008, saya dapati ramai anak muda tidak suka pemerintahan Barisan Nasional berdasarkan beberapa faktor. Antara faktornya adalah pucuk pimpinan Barisan Nasional itu sendiri.

Saya ulangi, saya tidak berniat untuk menjatuhkan air muka Dato' Sri kerana itu bukanlah niat saya. Saya cuma ingin menegur mudah-mudahan dengan teguran saya ini akan membantu parti Barisan Nasional kearah lebih baik.

Sembilan Alasan Kenapa Saya Tidak Suka Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak.

1. Datin Sri Rosmah Mansor yang tidak bertudung.

Ingin saya tegaskan disini bahawa keperibadian seorang pemimpin juga menjadi 'benchmark' kepada rakyat untuk memilih mereka. Atas kesedaran inilah yang mendorong anak-anak muda supaya membuka minda dan hati mereka bahawa persoalan:

"Kalau Dato' Sri sendiri tidak boleh mendidik isteri beliau untuk menutup aurat, bagaimana untuk mentadbir sesebuah negara?"

Mungkin tidak releven persoalan ini kerana akhlak dan kebolehan untuk mentadbir itu tidak boleh disamakan. Tetapi harus diingat kerana dalam Al-Quran sudah tertulis panduan untuk memilih pemimpin mestilah mempunyai kebolehan untuk mentadbir dan memiliki akhlak yang baik.

2. Kehidupan Dato' Sri yang bermewah-mewah.

Isu seperti cincin Datin Sri Rosmah, beg tangan sepatutnya tidak timbul kerana saya memandang isu ini sebagai remeh. Persoalan seperti "Ke mana duit Dato' Sri dibelanjakan" juga saya rasa tidak releven atas justifikasi bahawa gaji dan elaun Dato' Sri itu adalah hak Dato' Sri.

Saya rasakan bahawa pemimpin yang bermewah-mewah adalah tidak patut kerana ramai lagi rakyat yang miskin perlukan bantuan. Cuba contohi keperibadian zuhud seperti Tuan Guru Nik Aziz atau Sultan Muhammad Faris Petra. Mereka boleh dijadikan contoh selain contoh utama kita, junjungan besar Nabi Muhammad saw.

3. Pemilihan orang bawahan yang tidak kena pada kelayakan meraka.

Saya rasa isu ini terlalu umum untuk dikritik kerana ini bakal menjadi isu fitnah. Saya tidak akan bagi terlalu terperinci akan siapa saya maksudkan kerana ini sepatutnya dipantau oleh Dato' Sri. Saya dapat tahu bahawa ada jawatan yang disandang menteri dalam organisasi Dato' Sri pimpin, digalas oleh orang yang tidak sepatutnya.

Ini juga turut menjadi kepincangan dalam pentadbiran Dato' Sri kerana saya lihat bahawa jikalau ini diperhalusi oleh Dato' Sri, nescaya rakyat Malaysia terutama anak muda akan menyokong kepimpinan Dato' Sri. Isu seperti rasuah dapat dikurangkan dan kecekapan dalam perkhidmatan dapat ditingkatkan. Terdapat juga sesetengah ahli dibawah kepimpinan Dato' Sri yang ketika dipersoalkan cara dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan dibalas bukan dengan fakta, malah dimarah kembali apabila disoalkan mengenai mutu kerjanya.

4. Keberanian Dato' Sri dipersoal apabila diajak berdebat mengenai sesuatu isu.

Ini adalah antara yang paling ketara saya dapat lihat kenapa ramai anak muda tidak hormati pemimpin UMNO/BN kini. Saya sangat hormati pemimpin dibawah Dato' Sri seperti YB Khairi kerana beliau berani berdebat demi memperjuangkan idea beliau. Sebagai contoh isu pinjaman PTPTN yang dicanang oleh pembangkang.

Kebolehan beliau untuk bercakap, memberi cadangan, berhujah dan tahap keyakinan beliau saya sangat kagumi. Cuma yang menjadi persoalan saya, mengapa Dato' Sri tidak berani bersemuka di luar Parlimen untuk berdebat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim?

Saya yakin 110% jikalau Dato' Sri berjaya membuktikan Dato' Sri berani mempertahankan idea bersama hujah yang bernas apabila berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, anak muda ramai akan menyokong usaha Dato' Sri dalam Barisan Nasional.

5. Idea golongan muda yang Dato' Sri pandang remeh.

Saya percaya bahawa Dato' Sri sangat sukakan idea baru dari anak muda dan mahasiswa. Tetapi berapa banyak idea yang Dato' Sri gunapakai melainkan idea dari "kroni" sendiri? Betulkan kalau apa yang saya kata ini bahawa idea saya dalam artikel ini mungkin tidak akan diterima oleh Dato' Sri kerana Dato' Sri tidak nampak keperluannya untuk membuat seperti apa yang saya cadangkan.

Saya perhati ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius oleh Dato' Sri sendiri dan boleh mendapatkan idea penyelesaian dari kami anak muda. Contohnya seperti isu pinjaman PTPTN dan pendidikan percuma.

Kerangka yang diunjurkan oleh pihak pembangkang sememangnya boleh diteliti semula oleh pucuk kepimpinan kerajaan kerana saya rasa ada rasional disebaliknya. Ia sepatutnya dipertimbangkan untuk diluluskan. Idea sistem pendidikan yang lebih tersusun dan lebih berkesan seperti yang diunjur saudara Zul fikri Zamir dalam buku beliau "Sekolah Bukan Penjara ~ Universiti Bukan Kilang" terbitan DuBook Press juga boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

6. Wadah twitter, facebook dan blog Dato' Sri yang tiada fungsi.

Sahabat-sahabat saya ramai telah menyumbangkan idea, komen dan kritikan melalui twitter, facebook dan sebagainya. Kami sangat yakin bahawa Dato' Sri adalah pemimpin yang berjiwa rakyat. Kami juga yakin bahawa Dato' Sri adalah penyelamat kami rakyat Malaysia. Oleh kerana rasa sayang dan cinta kami kepada Malaysia, maka kami kongsikan idea, maklumat dan cadangan kepada Dato' Sri melalui media-media tersebut.

Menjadi persoalan kepada saya, adalah betul Dato' Sri membaca dan menilai idea dari kami? Kalau betul idea kami dibaca, apa indikatornya? Apa komen Dato' Sri?

Saya juga faham jadual padat Dato' Sri bagaimana, tetapi bukan ada pentadbir akaun media sosial untuk Dato' Sri sendirikah yang boleh membaca idea-idea kami? Kami perlukan feedback, barulah ini dinamakan komunikasi dua hala. Kami tidak minta banyak, cuma minta respon sahaja seperti, "idea saudara kami sudah baca dan akan dipertimbangkan" sudah cukup memadai sebagai respon.


7. Berlagak seperti tuhan menghukum orang lain.

Saya terkejut apabila membaca artikel bertajuk "7 dosa besar pembangkang terhadap rakyat dan umat Islam". Sewaktu artikel ini disiarkan dalam akhbar tempatan, saya beranggapan bahawa Dato' Sri adalah tuhan yang menjadi penentu dosa dan pahala, menjadi hakim kepada salah dan benar. Terlalu besar dan mendalam kesannya dalam hati saya kerana saya tidak menyangka bahawa Dato' Seri tergamak menjatuhkan hukum sendiri.

Pada pendapat saya, perkara ini sepatutnya tidak terjadi kerana isu agama dan perkauman tidak patut ditimbulkan. Dari situ saya dapat jangka ramai anak muda tidak berpuas hati termasuklah saya. Saya harap perkara seperti ini tidak dipanjangkan kerana ia dapat menggugat kestabilan negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

8. Kempen politik yang melampau.

Ada satu istilah pengiklanan saya panggil sebagai "over-exposed" yang mana dalam mempromosikan ideologi Dato' Sri, Dato' Sri sudah terlebih-lebih. Saya mengatakan terlebih kerana sampai satu tahap saya menyampah melihat gambar Dato' Sri di merata tempat seperti, billboard, botol air, banner, bunting atau dimana-mana sahaja.

Saya rasakan bahawa Dato' Sri sudah seperti Kim Jong-Un, pemimpin Korea Utara yang taksub terhadap dirinya. Merata-rata saya berjalan mesti akan terlihat gambar Dato' Sri yang saya tidak tahu apa motif ianya diletak merata-rata.

Tema hari kemerdekaan negara juga turut dijadikan label politik Dato' Sri sendiri. Apa maknanya semua ini?

9. Tegas atau tidak Dato' Sri dalam membuat keputusan atau berlandaskan emosi semata?

Dari pemerhatian saya, saya dapati Dato' Sri tidak tegas dalam membuat keputusan. Ini salah satu faktor mengapa orang akan menghormati Dato' Sri sebagai pemimpin. Saya rasakan emosi patut diletak tepi dan fikiran sepatutnya dibuka luas ketika membincangkan sesuatu isu. Contohnya isu pelaksanaan hukum hudud seperti dicadangkan oleh pembangkang. Jikalau emosi tidak menguasai, saya rasa tidak akan keluar kenyataan dosa pembangkang terhada rakyat dan umat islam.

Saya mengambil contoh seperti era pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Keperibadian beliau sangat tegas dan kerana ketegasan tersebut, beliau sangat dihormati kawan dan lawan sehingga sekarang. Saya tidak pula menyamakan Dato' Sri dgn Tun Dr. Mahathir dalam hal ini kerana setiap pemimpin mempunyai cara mereka tersendiri untuk memimpin.


Kesimpulan

Secara kesimpulannya, saya berpendapat jikalau kesemua perkara ini Dato' Sri dapat pertimbangkan untuk diubah, InsyaAllah Barisan Nasional dapat dipulihkan pengaruhnya.

Pada asalnya, saya ingin menulis 10 alasan, tetapi buat masa ini saya hanya dapat menulis sembilan sahaja kerana ketika saya menaip artikel ini secara spontan. Jikalau sesiapa ingin menambah atau mengkritik kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak, boleh juga dikongsi bersama saya. InsyaAllah, kita akan nampak pembaharuan kelak.

Akhir kata, saya tidak menulis artikel ini berdasarkan pegangan politik, tetapi saya menulis sebagai seorang pelajar, rakyat, dan pengikut yang mahukan perubahan.

Assalamualaikum wbt.